Thursday, January 29, 2009

Empat lagi Giat Mara di Sabah

KOTA KINABALU 28 Jan. - Kerajaan akan membina empat buah lagi Pusat Giat Mara di negeri ini sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, langkah itu selari dengan sasaran memastikan setiap kawasan Parlimen di negeri ini mempunyai sekurang-kurangnya sebuah pusat Giat Mara dalam tempoh berkenaan.

''Setakat ini, kita sudah ada Giat Mara beroperasi di 21 daripada 25 Parlimen tersebut.

"Jadi, ada empat lagi kawasan Parlimen yang belum ada dan usaha sedang dijalankan untuk membina pusat seumpama itu di Putatan, Kalabakan, Pensiangan dan Sipitang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian cek usahawan Tekun di sini semalam.

Turut hadir Pengurus Besar Tekun, Saahari Ismail; Pengurus Tekun Sabah, Fazidah Ajamain dan Pengurus Giat Mara Sabah, Mohd. Faizal Bemimin.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan cek bernilai RM1.25 juta kepada 70 peminjam Tekun.

Selain itu, Saifuddin berkata, pihaknya juga merancang membina lebih banyak cawangan Giat Mara khususnya di kawasan pedalaman dan pulau-pulau utama di negeri ini.

"Sebagai contoh di Pulau Banggi, Kudat sesuai diwujudkan cawangan Giat Mara bagi menampung keperluan penduduk setempat," katanya. 

Beliau menambah, semua kursus yang akan ditawarkan di pusat dan cawangan Giat Mara akan ditentukan berdasarkan keperluan di kawasan tersebut.

Katanya, sejak ditubuhkan pada 1993, Giat Mara telah melahirkan sebanyak 12,947 pelatih dalam pelbagai bidang kemahiran.


TARIKH:29 Januari 2009

SUMBER: Utusan Malaysia

PAUTAN: Klik di --->Sini

---------------------------

PUSAT GIAT MARA PARLIMEN KIMANIS

Diharapkan para belia kita dapat memanfaatkan pembinaan Pusat Giat Mara di kawasan parlimen ini. Seperti Giat Mara parlimen Membakut yang terletak di daerah Membakut, sudah banyak melahirkan belia yang berkemahiran dan terlatih. Semoga usaha murni kerajaan barisan Nasional ini dapat diteruskan.

No comments: