Thursday, January 5, 2012

Demonstrasi mahasiswa

 Satu tulisan yang bernas hasil nukilan Dr. Ben yang sidang ridaksi ingin kongsikan bersama dengan para pembaca... mungkin ianya dapat memberi iktibar kepada kita semua....

Semenjak dua menjak ini berlaku beberapa insiden di mana mahasiswa berdemonstrasi. Dua perkataan penting seperti pada tajuk artikel ini, demonstrasi dan mahasiswa.

Demonstrasi adalah lumrah negara yang mengamalkan demokrasi. Lain halnya kalau di Arab Saudi yang mengamalkan sistem monarki. Di Arab Saudi, ikut laporan mereka yang pernah menunaikan haji/umrah, jangan sekali-kali berkumpul tak tentu pasal, walaupun sekadar sembang-sembang. Anda mungkin akan ditangkap.

Saya tidak pernah menghadiri demonstrasi di Malaysia tetapi di Australia saya pernah jadi penonton. Demonstrasi cikgu sekolah yang mahu kenaikan gaji. Seminggu sebelum demonstrasi dibuat, surat dihantar kepada ibubapa oleh persatuan guru-guru menyatakan bahawa pada tarikh sekian-sekian mereka akan berdemonstrasi. Sekolah akan ditutup.
Pada hari demonstrasi, mereka berarak di tengah-tengah bandar Adelaide. Ramai guru-guru dan penyokong mereka yang ambil bahagian. Mereka melaungkan slogan-slogan dan membawa sepanduk dan berarak mengikut jalan yang telah ditetapkan. Jalan tersebut telah ditutup dan polis mengawal trafik.

Contoh guru ini sangat berkait dengan mahasiswa. Untuk menjadi guru, sekurang-kurangnya mereka perlu ada segulung ijazah dari kolej ataupun universiti. Mereka berpelajaran tinggi. Oleh itu mereka diharapkan menerapkan budaya kolej dan universiti. Ya, di dalam kolej ataupun universiti, memang ada budaya tertentu yang diharapkan dapat diterapkan kepada pelajar-pelajar. Bukan sekadar untuk mendapatkan segulung ijazah.
Sudah tentu bukan maki hamun, panjat pagar dan baring terlentang di atas jalan untuk mendatangkan hujah.

Maki hamun, panjat pagar dan terlentang di atas jalan mungkin layak dibuat oleh golongan yang lain tetapi bukan untuk mahasiswa. Apatah lagi merosak harta benda awam tanpa hak.
Sememangnya mahasiswa adalah harapan negara. Mereka diharap berani. Berani tanpa membuang kecerdikan. Pada seorang mahasiswa, kecerdikan itu adalah maruah mereka.
Mahasiswa diharap kehadapan membawa isu-isu masyarakat, sosial, politik, negara dan agama. Mereka perlu kehadapan. Tapi tidak perlu terlentang di atas jalanraya.

Pemimpin negara sekarang (kerajaan atau pembangkang) yang mungkin menjadi idola sesetengah mereka, bukanlah jenis yang terlentang di atas jalan raya. Bukan juga yang memaki hamun apatah lagi merosakkan harta benda awam. Jika pernah, sekarang mereka tidak melakukannya lagi. Jika masih juga pe'el begitu, adakah pemimpin jenis ini yang kita mahu?
Maki hamun, terlentang di jalan raya dan merosakkan harta benda awam bukanlah satu budaya yang diterapkan di dalam institusi pengajian tinggi, apatah lagi institusi yang akan mengeluarkan mereka yang akan mendidik anak bangsa. Nasib baik, jumlah yang sebegini tidak sepuluh kali ganda bilangannya. Jika tidak, kita jadi risau.