Wednesday, January 7, 2009

Jangan layan SMS minta PIN

BNM: Jangan layan SMS minta PIN, kata laluan

KUALA LUMPUR 6 Jan. - Bank Negara Malaysia (BNM) menasihati orang ramai supaya berwaspada dan tidak mendedahkan Nombor Pengenalan Peribadi (PIN) dan kata laluan kepada pihak ketiga bagi mengelakkan pengeluaran tanpa kebenaran daripada akaun perbankan mereka.

Sambil menggesa orang ramai supaya tidak memberikan maklum balas kepada mana-mana khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel yang meminta maklumat peribadi seperti PIN atau kata laluan bagi akaun perbankan, bank pusat itu menegaskan bahawa bank-bank tidak akan meminta maklumat sedemikian melalui e-mel, SMS atau panggilan telefon.

''Pada tahun 2008, sejumlah 165 aduan tentang pengeluaran tanpa kebenaran diterima oleh Bank Negara. Berdasarkan siasatan, semua kes ini disebabkan oleh pelanggan yang, secara sengaja atau tidak sengaja, mendedahkan maklumat peribadi mereka seperti PIN dan kata laluan kepada pihak ketiga atau pihak yang menipu,'' katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menjelaskan lebih lanjut, Bank Negara berkata, dalam kebanyakan kes, mangsa pengeluaran tanpa kebenaran ini menerima SMS yang tidak dikenal pasti daripada pihak yang menipu, memaklumkan bahawa mereka telah memenangi hadiah wang tunai.

Untuk menuntut hadiah wang tunai yang dijanjikan itu, mangsa diminta membuka akaun perbankan Internet.

Mangsa kemudiannya menghubungi pihak yang menipu, yang memberikan panduan terperinci kepada mangsa tentang cara mendaftar dan mengaktifkan akaun perbankan Internet di terminal Mesin Juruwang Automatik (ATM).

Ketika mendaftar di terminal ATM, mangsa akan diberikan PIN.

Kemudian pihak yang menipu akan meminta mangsa memberikan PIN kepadanya dan akan menggunakan PIN itu untuk menyediakan akaun perbankan Internet bagi mangsa.

Mangsa kemudiannya akan diminta mendaftarkan nombor telefon pihak yang menipu bagi mendapatkan Kod Sah Kuasa bagi membolehkan pindahan dana dibuat melalui perbankan Internet.

Ekoran itu, Kod Sah Kuasa itu dihantar melalui SMS terus kepada telefon bimbit pihak yang menipu.

Tanpa disedari, mangsa telahpun memberikan akses akaun perbankan mereka sepenuhnya kepada pihak yang menipu.

Sumber dipetik daripada: Utusan Malaysia

Untuk pembacaan selanjutanya sila klik: DI SINI

--------------------------------------------------------------

Penulis sering terbaca mengenai berita tentang kes penipuan melalui peraduan SMS yang di anjur oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Baru - baru ini pihak berkuasa telah mengesan beberapa aktiviti haram ekoran dari laporan oleh orang awam mengenai pemindahan deposit yang tidak sah ke luar negara yang mengakibatkan kehilangan sejumlah wang yang besar dari akaun mangsa. Oleh itu, penulis ingin menyeru agar  para pembaca blog Suara Membakut supaya lebih peka dan berhati - hati dengan gejala ini. Jangan kerana tamakkan harta anda menjadi mangsa penipuan. Berhati - hatilah semua. sekian.

No comments: