Wednesday, June 17, 2009

1 Malaysia: Pengenalan & Definisi


PENGENALAN 

Rakyat Malaysia  terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur. 

Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd  Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, adalah langkah yang  bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat.  Konsep ini selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara. 

1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat.  Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’. 

‘1 Malaysia’ memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi.  Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.  

1 Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi.   Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. 

Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara. 

Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan  sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara Malaysia.   Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat. 

Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik.  Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati  pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan. 

1 Malaysia adalah pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat.  Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan. 

Pemimpin dan rakyat perlu memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integiti. 

DEFINISI 

Konsep 1 Malaysia  menurut penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib  Tun Abdul Razak:

“Kita berdiri, kita  berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita; 

Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. 

Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.

Huraian

            Berdasarkan penjelasan di atas, dapat dirumuskan kesimpulan berikut : 

1.  Konsep 1 Malaysia menuntut setiap warganegara dan pemimpin memainkan peranan masing. 

 Ayat yang menyebut “Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People” menuntut rakyat daripada pelbagai kaum dan agama berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing.  Mereka juga di tuntut melahirkan tindakan yang melepasi tembok kepentingan etnik dan kaum. 

Justeru, bangsa Melayu sebagai contoh, diminta tidak hanya berfikir dalam skop bangsa mereka sahaja.  Mereka juga diminta tidak hanya membataskan tindakan mereka kepada perkara-perkara yang menjadi kepentingan mereka sahaja.  Demikianlah juga dengan kaum-kaum yang lain, mereka dituntut melakukan perkara yang sama. 

Sementara ayat “dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” lebih menjurus dan bersangkutan dengan kepimpinan negara.  Perenggan ini bermakna kepimpinan negara akan melayani dan memenuhi segala keperluan dan hak semua kaum dan etnik di Malaysia. 


2.  Nilai tambah dan pembaharuan dalam Konsep 1 Malaysia 

“Mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita”  telah dilaksanakan kerajaan semenjak kemerdekaan negara lagi.  Perkara ini berjalan dalam bentuknya yang tersendiri iaitu pihak kepimpinan negara melayani kehendak dan keperluan setiap etnik melalui wakil kaum masing-masing. 

Melalui konsep 1 Malaysia, YAB Perdana Menteri mahukan setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain.

 

PERBEZAAN ANTARA KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN    KONSEP MALAYSIAN MALAYSIA 

Berpandukan definisi konsep 1 Malaysia yang dinyatakan di atas, konsep 1 Malaysia memiliki kelainan seperti berikut: 

1.      “Konsep Malaysian Malaysia adalah satu dasar yang mahu menggagalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud buat sekian lama.  Keadilannya diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total. Tetapi konsep 1 Malaysia lebih kepada untuk mengharmonikan rakyat dalam ruang lingkup yang berbeza”. 

2.      Di samping menjaga kepentingan semua kaum, konsep 1 Malaysia            juga menekankan soal integrasi dan pengwujudan bangsa Malaysia.  Berbeza dengan Malaysian Malaysia yang hanya terbatas kepada kesamarataan hak tanpa mengambil kira realiti dan sejarah negara Malaysia. 


KEDUDUKAN KONSEP 1 MALAYSIA 

Konsep 1 Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru.  Sebaliknya Konsep 1 Malaysia ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.

HUBUNGAN KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN DASAR-DASAR KERAJAAN TERDAHULU 

Perkaitan antara konsep 1 Malaysia dan dasar-dasar megara terdahulu dinyatakan sendiri oleh YAB Perdana Menteri.  Beliau menegaskan “konsep 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan, adalah kesinambungan daripada dua konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri terdahulu.

Konsep ini bukanlah suatu perkara baru.  Sebaliknya “1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan.  Usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara sudah dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. 

Usaha-usaha membangunkan rakyat dan negara telah disambung oleh Perdana-Perdana Menteri seterusnya.  Setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan negara.

 

MATLAMAT 

1 Malaysia’ bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran. 

‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.


                                                                                                                                   ---bersambung---

5 comments:

The Island of NAMOYAKI, said...

Salam hormat Tuan,

boleh tuan teruskan sambungannya,
saya sedang mengambil maklum balas daripada blog tuan untuk penulisan saya seterusnya.

saya dahulukan dengan ucapan 'terima kasih' ke atas bantuan malumat yang bakal dihantarkan nanti,

Wassalam,

Anonymous said...

SALAM,TLG SAMBUNGLAGI SAMBUNGANNYA KERANA SAYA INGIN TAHU DGN LEBIH MENDALAM LAGI TENTANG KONSEP 1MALAYSIA,HIDUP 1MALAYSIA...

kasuttinggi said...

Salam 1 Malaysia Tuan,

Saya sedang menyiapkan esei tentang pembinaan budaya negara. Saya nak tanya, betulkah 1 malaysia itu diwujudkan daripada konsep kehidupan kemasyarakatan di Sabah dan Sarawak?

Anonymous said...

Assalamualikum, saya harap supaya tulisan ini disambung lagi. Maklumat sepeti ini sangat berguna kepada semua masyarakat di Malaysia.Semangat 1 Malaysia memang telah diamalkan di sabah.

firdaus said...

FIRDAUS

Assalamualaiku wbt, salam satu malaysia...

tuan; bolehkah tuan terangkan dengan lebih mendalam tentang definisi 1malaysia serta memperbanyakkan contoh-contoh supaya rakyat malaysia lebih faham tentang 1malaysia..

TERIMA KASIH,,