Tuesday, June 23, 2009

Adun N. 24 Membakut Turun Padang Tinjau Kemudahan Rakyat

22hb Jun 2009 (Isnin), Membakut: Adun N. 24 Membakut, Y.B Datuk Haji Mohd Ariffin Arif telah membuat lawatan tidak rasmi disekitar kawasan DUN N. 24 Membakut untuk melihat sendiri proses pembangunan yang telah dijalankan baru - baru ini. Beliau yang diiringi oleh Ketua Kampung, Pengerusi JKKK, Ketua Daerah Mengundi, dan beberapa pegawai daripada agensi kerajaan telah memulakan lawatan pada jam 6.30 pagi dengan berjalan kaki yang bermula dari kediaman beliau di Kg. Laut Pimping, Membakut hingga ke S.M.K Membakut 2 yang mana jaraknya sejauh lebih kurang 4 kilometer.

Gambar: Pemandangan di Kg. Pimping pada waktu pagi (diambil pada jam 7.00 pagi)

Tujuan lawatan pada kali ini adalah untuk melihat sendiri perkembangan projek - projek pembangunan yang telah dilakukan oleh kontraktor - kontraktor tempatan yang dilantik melalui proses cabutan baru - baru ini. Selain daripada itu, beliau juga mengambil kesempatan untuk meminta pendapat daripada pemimpin - pemimpin tempatan yang mengiringi di dalam pelbagai aspek bagi meningkatkan tahap kemudahan insfrastruktur di kawasan daerah Membakut. Dengan itu, beliau akan dapat merangka proses pembangun yang bakal di buat untuk disenaraikan pada belanjawan yang akan datang.

Gambar: Y.B Datuk Haji Mohd. Ariffin meninjau parit yang tersumbat di kawasan S.K Pg. Jaya Kg. Pimping Membakut

Y.B Datuk Haji Mohd Ariffin berpendapat bahawa lawatan baru - baru ini adalah salah satu langkah beliau di dalam menyahut seruan Perdana Menteri di dalam gagasan 1 Malaysia yang mana slogannya menyatakan ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’. Beliau senantiasa mencuba sebaik mungkin untuk mendekati masyarakat di daerah Membakut tanpa mengira bangsa dan agama demi menjalankan tugas sebagai wakil rakyat DUN N.24 Membakut. Dengan itu beliau yakin akan dapat memahami masalah sebenar yang dihadapi oleh masyarakat dengan lebih terperinci.

Gambar: Y.B Datuk Haji Mohd. Ariffin mendengar penjelasan daripada Pengerusi JKKK

Menurut beliau lagi, lawatan seperti akan dilakukan dari masa ke semasa dan meliputi di seluruh kawasan daerah Membakut bergantung dengan jadual kerja beliau sebagai ahli dewan undangan negeri dan selaku pengerusi SEDCO.

Gambar: Y.B Datuk Haji Mohd. Ariffin mendengar saranan dan pandangan daripada pemimpin tempatan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan beliau selaku wakil rakyat N. 24 Membakut

Selain daripada meninjau keadaan kampung aktiviti ini juga boleh dijadikan sebagai riadah yang menyihatkan tubuh badan. Ini kerana pemimpin yang komited perlu mempunyai tahap kesihatan tubuh badan dan kecerdasan minda untuk menghasilkan prestasi yang baik di dalam menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka. Datuk Haji Mohd. Ariffin juga mengambil kesempatan bertanyakan isu - isu yang timbul disekitar daerah Membakut dan meminta saranan dan cadangan daripada pemimpin - pemimpin tempatan yang turut serta semasa lawatan pada hari tersebut.


Gambar: Tapak Cadangan untuk membina bangunan Ma'ahad Tahfiz Al - Quran Waal Qira'aat negeri Sabah

Dengan kesempatan yang ada, beliau juga dibawa melawat tapak cadangan untuk membina bangunan Ma’ahad Tahfiz Al-Quran Waal Qira’aat Negeri Sabah yang baharu sepertimana yang diumumkan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Haji Amari A Suratman baru - baru ini. Lokasi tapak cadangan tersebut adalah di sebuah tanah milik kerajaan yang terletak besebelahan dengan S.K Saga - Saga, Pimping, membakut. Ini adalah seiringan dengan wawasan Datuk Haji Mohd Ariffin untuk menjadikan Daerah Membakut sebagai daerah yang membangun serta rakyatnya yang maju menjelang tahun 2020 yang mana salah satu daripada agenda pembangunan tersebut adalah Agenda Pembangunan Pendidikan.

Gambar: Datuk Haji Mohd Ariffin bersama diantara peminpin tempatan yang menyertai lawatan pada hari tersebut

Gambar: Rombongan Pemimpin melepaskan lelah setelah berjalan kaki sejauh 4 km di perhentian bas S.K Saga - Saga, Pimping

Selepas melawat kawasan - kawasan projek pembangunan, rombongan dibawa singgah ke S.K Saga - Saga, Pimping bagi meninjau keadaan sekolah dan bertemu dengan murid - murid dan guru di sekolah tersebut sambil menyerahkan sumbangan buku hasil karya Datuk Haji Mohd Ariffin sendiri yang berjudul "Nota Kecil".

Gambar: Penerangan ringkas daripada Guru Besar kepada Y.B mengenai aktiviti sekolah

Semasa lawatan tersebut secara kebetulan pihak sekolah S.K Saga - Saga, Pimping sedang melakukan perhimpunan mingguan dan kedatangan pihak rombongan disambut baik oleh pihak sekolah. Menurut Guru Besar S.K Saga - Saga setiap hari Isnin telah menjadi rutin kepada murid - murid dan guru berhimpun dan diakhir perhimpunan tersebut beberapa orang murid akan dipanggil ke hadapan untuk membuat ucapan awam dalam bahasa Inggeris berdasarkan teks yang telah disediakan. Aktiviti ini adalah untuk mendedahkan murid - murid kepada bahasa Inggeris disamping dapat mempertingkatkan kebolehan mereka dari sudut pemahaman dan berkomunikasi.

Gambar: Warga S.K Saga - Saga, Pimping yang terdiri daripada 127 orang murid dan 24 orang tenaga pengajar

Gambar: Pengucapan Awam Di Dalam Bahasa Inggeris Oleh Murid S.K Saga - Saga , Pimping


Gambar: Amanat Ringkas Daripada Datuk Haji Mohd Ariffin Kepada Murid - Murid S.K Saga - Saga

Y.B Datuk Haji Mohd Ariffin sempat memberi satu ucapan ringkas kepada murid - murid S.K Saga - Saga, Pimping dengan memberikan nasihat dan dorongan untuk menjadi seorang insan yang berjaya dan berguna. Beliau menekankan sikap ingin maju perlu ada dikalangan pelajar disamping rajin dan tekun di dalam proses menimba ilmu. Selain daripada itu, beliau juga menyeru agar para murid sentiasa menghormati guru dan ibu - bapa agar memperolehi keberkatan dalam kehidupan.


Gambar: Murid - Murid S.K Saga - Saga Tekun Mendengar Amanat & Pesanan Daripada Wakil Rakyat N. 24 Membakut

Gambar: Penyerahan Sumbangan Buku "Nota Kecil" Kepada Guru Besar S.K Saga -Saga, Pimping DiPerhatikan Oleh Pengerusi Persatuan Ibu Bapa & Guru Sekolah tersebut

Diakhir lawatan di S.K Saga - Saga, Datuk Haji Mohd Ariffin menyerahkan sumbangan buku hasil karya beliau sendiri berjudul "Nota Kecil" kepada pihak sekolah yang diwakili oleh Guru Besar. Buku tersebut akan ditempatkan di Pusat Sumber sekolah tersebut agar ianya dapat dibaca dan memberi inspirasi kepada murid - murid untuk menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat.

Gambar: Datuk Haji Mohd Ariffin Menandatangani Buku Pelawat S.K Saga - Saga, Pimping, Membakut

Gambar: Penyerahan Sumbangan Kamus Dewan Kepada Wakil S.M.K Membakut 2

S.M.K Membakut 2 yang mana terletak berbelahan dengan S.K Saga - Saga, Pimping juga tidak ketinggalan untuk dikunjungi oleh rombongan pemimpin pada hari tersebut. Walaupun lawatan yang agak singkat, Datuk Haji Mohd Ariffin sempat bertemu dengan wakil daripada pihak sekolah bagi menyampaikan sumbangan yang berbentuk Naskah Kamus Dewan untuk kegunaan pelajar - pelajar di sekolah tersebut.


Gambar: Kenangan Rombongan Datuk Haji Mohd Ariffin Bersama Rombongan Pemimpin Tempatan Yang Hadir Pada Hari Tersebut.


Gambar: Perbincangan Ringkas Bersama Pemimpin Tempatan Selepas Program Lawatan Berjalan Kaki

Lawatan hari tersebut diakhiri dengan ahli rombongan berhimpun semula dikediaman Datuk Haji Mohd Ariffin bagi membincangkan serta merumuskan maklumat yang diperolehi semasa lawatan yang berakhir kira - kira jam 9.00 pagi. Ini adalah merangkumi tindakan yang patut dihasil bagi menangani segala isu yang timbul sepanjang lawatan dan berbincangan bersama pemimpin tempatan. Selain itu, terdapat juga perancangan program - program yang bakal dibuat pada masa terdekat di dalam usaha mendekatkan pemimpin dengan rakyat setempat. Menurut wakil daripada Datuk Haji Mohd Ariffin, satu lawatan ringkas juga akan dibuat di kawasan Kg. Brunei pada tengahari tersebut yang mana selepas itu mereka akan terus ke Kota Kinabalu untuk menghadiri satu mensyuarat penting. Oleh penulis berharap pihak Y.B Datuk Haji Mohd Ariffin dapat meneruskan program sihat seperti ini di kawasan Daerah Membakut yang lain pada masa - masa yang akan datang. Sidang Ridaksi amat berterima kasih kepada pihak Y.B kerana sudi menjemput wakil kami untuk turut serta semasa program lawatan tersebut. Sekian, Wasalam.

No comments: