Monday, February 2, 2009

Cash mahu isu pengusiran 400 penduduk Kg Kiulu diselesaikan

KOTA KINABALU: Persatuan Pengguna Sabah dan Labuan (Cash) meminta Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman supaya campurtangan menyelesaikan masalah yang dihadapi lebih 400 penduduk Kampung Kiulu Baru Lumat di Beaufort yang terpaksa mengosongkan rumah dan struktur bangunan mereka sebelum 4 Februari ini.

Presiden Cash Datuk Patrick Sindu (gambar) berkata penduduk Kampung Kiulu Baru Lumat adalah ‘orang tempatan’ yang sudah berpuluh-puluh tahun tinggal di kampung berkenaan dan mereka sewajarnya diberi layanan yang berperikemanusiaan.

“Kalau orang Pulau Gaya yang datang dari luar dengan mudah sahaja diberi tempat atau rumah yang teratur dengan kemudahan asas disediakan di Telipok, tiada sebab orang tempatan tidak boleh diberi layanan yang sama.

“Cash berpendapat notis pengusiran penduduk Kampung Kiulu Baru Lumat di Beaufort ini adalah sesuatu yang serius dan mungkin hanya merupakan sebahagian kecil daripada keadaan sebenarnya. Sebab itu, kita mahu Ketua Menteri sebagai ketua pentadbir negeri ini buat sesuatu untuk membela nasib penduduk tempatan…sekurang-kurangnya mereka disediakan rumah di kawasan penempatan baru,” katanya kepada Bernama, di sini kelmarin.

Patrick berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar tempatan kelmarin mengenai permasalahan yang dihadapi oleh penduduk Kampung Kiulu Baru Lumat di Beaufort.

Menurut laporan itu, notis pemindahan dipasang di balai raya kampung itu oleh sebuah syarikat yang mendakwa sebagai pemilik CL 175346666, Woodford Estate pada 24 Januari lepas dan seterusnya menghendaki penduduk di situ mengosongkan tanah itu, merobohkan rumah dan struktur bangunan.

Majoriti penduduk di situ ialah masyarakat Kadazandusun yang mana nenek moyang mereka mula berpindah ke kawasan itu dari Kiulu, Tuaran, sekitar 35 tahun yang lepas untuk mencari tanah untuk bertani, dan mereka juga dikatakan pernah memohon supaya kawasan itu diwartakan sebagai tanah kampung.

Dalam hal ini, Patrick turut mencadangkan supaya Jabatan Tanah dan Ukur Negeri dirombak berikutan banyak rungutan dan keluhan rakyat berkaitan masalah tanah di Sabah.

“Mungkin ada sesuatu yang tidak kena….banyak aduan yang diterima oleh Cash berhubung masalah yang sama iaitu orang kampung yang sudah lama tinggal di sesuatu kawasan tidak diberi keutamaan manakala syarikat besar dengan mudah diberi kelulusan tanah,” katanya.

Beliau berkata Cash juga menyarankan agar Tribunal Tanah ditubuhkan di Sabah bagi memudahkan penduduk yang terkilan mendapatkan keadilan.

Tarikh:02/02/2009 (ISNIN)

Sumber: New Sabah Times

Pautan: Klik di --->Sini

-------------------------

Masalah yang dilaporkan ini sudah sekian lama berlaku, penulis berharap agar pihak yang berwajib dapat melakukan sebarang tindakan yang positif demi kebaikan penduduk di kawasan Kampung Kiulu Baru, Lumat ini yang mana ianya termasuk di dalam DUN N. 24 Membakut.

No comments: