Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad, berkata perkembangan itu menunjukkan bahawa skim itu, yang dilancarkan pada 2001 dengan peruntukan RM240 juta untuk membantu siswazah menganggur mendapatkan pekerjaan berjaya mencapai matlamatnya.
“Kementerian merancang merangka program untuk melatih semula graduan yang menganggur ini dengan kerjasama agensi seperti Malaysian Institute of Microelectronics Systems (Mimos) dan Multimedia Development Corporation (MDEC) bagi peningkatan kemahiran mengikut keperluan industri.
“Latihan itu akan menjurus kepada bidang teknologi maklumat, bahasa Inggeris, peningkatan diri, soft-skills dan sebagainya,” katanya ketika menjawab soalan Senator J Usha Nandhini di sini, semalam.
Usha ingin tahu adakah kementerian mempunyai rancangan untuk melancarkan semula SLG bagi siswazah menganggur dan juga skim latihan pekerja yang diberhentikan dan penganggur berikutan krisis ekonomi global ketika ini.
Noraini berkata, bagi memantau pemberhentian pekerja, kementerian menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Pemberhentian Pekerja dan Jawatan-kuasa Menjaga Kebajikan Pekerja yang berperanan menjamin kebajikan pekerja yang terbabit dan membantu mereka mendapatkan pekerjaan semula.
Katanya, kerajaan melalui syarikat Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) juga sedang melaksanakan skim latihan pekerja yang diberhentikan kerja bertujuan melatih pekerja-pekerja yang diberhentikan kerja daripada sektor swasta.
“Sebanyak RM10 juta diperuntukkan untuk melaksanakan skim ini yang membolehkan pekerja yang diberhentikan kerja memohon untuk mengikuti latihan semula dengan percuma bagi mendapat kemahiran dan pekerjaan baru,” katanya.
Noraini turut berkata, sehingga kini, seramai 100,339 graduan menganggur mendaftar dalam sistem pencarian pekerjaan secara dalam talian, Job Malaysia.
Sumber dipetik dari: Berita Harian
------------------------------------------------------------
Program Skim Latihan Graduan (SLG) yang di anjur oleh kementerian adalah sebuah program pembangunan yang efektif dan sangat berfaedah kepada graduan negara kita. Ini kerana di dalam program tersebut para graduan akan diberi latihan secara teori dan praktikal di dalam membuat persediaan untuk menempuhi alam pekerjaan sebenar yang serba mencabar. Selain daripada itu, para peserta juga akan didedahkan dengan kemahiran lain seperti peningkatan mutu berkomunikasi yang mana sering menjadi satu kekurangan di kalangan para graduan itu sendiri sehinggakan menutup peluang mereka untuk mendapat pekerjaan.
Walaubagaimanapun, ingin diulas disini ialah satu masalah yang telah menyumbang kepada pengganguran para graduan kita ialah terlalu memilih kerja dan terlalu inginkan mendapat gaji yang tinggi. Sememangnya setiap diantara kita inginkan kerja yang memenuhi kehendak kita, namun ianya bukanlah semudah yang disangka. Para graduan perlu berusaha gigih dan mempunyai kemahiran yang tinggi untuk mendapatkan sesuatu pekerjaan yang diimpikan oleh mereka. Ini adalah perlu kerana persaingan yang hebat di antara graduan kita di dalam mendapatkan sesuatu pekerjaan ada sangat sengit lebih - lebih lagi apabila bersaing dengan golongon yang sudah mempunyai pengalaman.
Oleh itu di dalam konteks ini, para graduan kita semestinya rajin berusaha dan tidak terlalu mengharapkan dengan bantuan kerajaan sepenuhnya kerana segala yang kita mau kecapi itu boleh kita dapati dengan berusaha, doa dan tawakal. Jadi gunakan sahaja kemudahan yang ada untuk memudahkan jalan kita di dalam usaha mencari pekerjaan... Insyallah
No comments:
Post a Comment