Tuesday, February 3, 2009

Serapkan 50,000 kakitangan kontrak

BUTTERWORTH 2 Feb. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendesak kerajaan menyerap 50,000 kakitangan kontraknya ke jawatan tetap.

Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, mereka tidak sepatutnya ditamatkan kontrak lebih-lebih lagi ketika negara menghadapi kemelesetan ekoran krisis ekonomi global.

''Apatah lagi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga telah meluluskan sebanyak 66 jawatan tambahan bertaraf kakitangan tetap di pelbagai agensi dan jabatan,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, pengisian jawatan tersebut sepatutnya dilakukan dengan menyerap pekerja kontrak berkenaan dan bukannya memberhentikan mereka atas alasan prestasi kerja tidak memuaskan.

"Saya menerima aduan dan makluman pekerja kontrak diberhentikan secara drastik oleh ketua-ketua jabatan dan itu adalah tindakan yang tidak wajar serta tidak berperikemanusiaan.

"Seharusnya pihak Sumber Manusia prihatin dengan nasib pekerja-pekerja kontrak yang mempunyai keluarga dan tanggungan," katanya.

Omar berkata, CUEPACS mahu supaya status kakitangan atau pekerja kontrak di semua agensi dan jabatan kerajaan di seluruh negara dihapuskan menjelang tahun 2010.

"Ini bukan cakap sahaja. Memberhentikan pekerja kontrak adalah satu penganiayaan. Jadi, Jabatan Sumber Manusia perlu lebih prihatin terhadap nasib pekerja," katanya.

Tarikh: 03 Feb 2009 (Selasa)

Sumber: Utusan Malaysia

Pautan: Klik di---> Sini

----------------------

No comments: