Wednesday, February 25, 2009

Koperasi Bela Rakyat bakal ditubuh setiap DUN

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Koperasi Bela Rakyat akan ditubuhkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membela nasib orang miskin.

Ia akan memberi peluang kepada golongan itu menyertai bidang ekonomi sebagai usahawan bagi membaiki kehidupan dan masa depan mereka.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata, penubuhannya juga akan mencapai matlamat menjadikan koperasi antara penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu sekurang-kurangnya lima peratus menjelang 2020.

''Pada masa ini, koperasi hanya menyumbang satu peratus terhadap KDNK. Sebab itu kita menggalakkan penubuhan koperasi termasuk Koperasi Bela Rakyat," katanya pada sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd. Yusoff (Pas-Rantau Panjang) yang bertanya mengenai program kerajaan menggalakkan orang ramai menyertai koperasi dan aktiviti perniagaan koperasi.

Dalam pada itu, menjawab soalan asal Mohd. Nor Othman (BN-Hulu Terengganu), Noh berkata, skim pinjaman mudah koperasi kredit berjaya mengurangkan tekanan hidup golongan pekerja yang sukar mendapat pinjaman bank.

Katanya, koperasi tani pula mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk luar bandar dan mengeluarkan mereka daripada kelompok miskin tegar seperti dibuktikan projek tanaman buah pitaya oleh Koperasi Tani Lembah Bidong yang disertai 75 penduduk miskin.

''Koperasi pengguna pula meringankan tekanan inflasi dengan penetapan harga barangan pengguna yang tidak membebankan anggota selain memberi rebat kepada mereka berasaskan langganan dengan koperasi.

''Bagi koperasi perumahan, anggotanya menikmati harga rendah bagi rumah yang dijual oleh koperasi kerana kos pembinaan dapat dikurangkan melalui insentif pembiayaan kerajaan pada kadar perkhidmatan tidak lebih enam peratus," katanya.

Tarikh: 25/02/2009 (Rabu)

Sumber: Utusan Malaysia

Pautan: Klik Di --->Sini

------------------------

No comments: