Tuesday, February 24, 2009

Fenomena air merah merebak

Oleh sitti nor azizah talata
utusansabah@utusan.com.my


KOTA KINABALU 23 Feb. - Jabatan Perikanan Sabah (JPS) mengesahkan fenomena kejadian air merah (Red Tide) yang dikesan di perairan Kota Kinabalu dan Tuaran, dua minggu lalu sudah merebak ke perairan Papar dan Kuala Penyu.

Pegawai Perikanan JPS, Boniface Jintony berkata, tanda-tanda kejadian air merah di kedua-dua kawasan itu telah dikesan minggu lalu.

Sehubungan itu, katanya, notis larangan memakan kerang dan siput yang telah dikeluarkan sejak awal bulan ini, masih dikuatkuasakan.

''Kita juga menasihati orang ramai agar tidak memakan bubuk (udang kecil yang dibuat belacan) kerana dikhuatiri tercemar air merah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Boniface menegaskan, tindakan tegas akan diambil kepada para peniaga di pasar jika didapati menjual kerang, siput dan bubuk kepada orang ramai di kawasan-kawasan yang serius tercemar Air Merah.

Katanya, walaupun kawasan lain di negeri ini belum dikesan kejadian air merah, namun pihaknya menasihati orang ramai supaya tidak memakan kerang, siput dan bubuk kerana dikhuatiri mengandungi toksin.

Tarikh: 24/02/2009 (Selasa)

Sumber: Utusan Malaysia

Pautan: Klik Di---> Sini

------------------------

No comments: