Wednesday, June 17, 2009

Pelajar bukan Bumiputera layak dapat biasiswa JPA meningkat

JUMLAH pelajar bukan Bumiputera yang layak menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meningkat ketara sehingga 600 peratus tahun ini berbanding tahun 2000.

Menurut perangkaan JPA, 924 pelajar bukan Bumiputera daripada keseluruhan 2,100 pelajar layak menerima tajaan JPA untuk mengikuti pengajian di luar negara tahun ini, berbanding hanya 150 daripada 748 pelajar pada tahun 2000.

Tahun lalu, seramai 900 pelajar bukan Bumiputera mendapat manfaat daripada pemberian biasiswa daripada keseluruhan 2,000 pelajar yang layak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.



Beliau yang menjawab soalan Tan Ah Eng (BN-Gelang Patah), berkata kerajaan menggubal dasar penajaan Program Ijazah Luar Negara (PILN) 2009 bagi mengatasi ketidakseimbangan permohonan biasiswa JPA antara Bumiputera dan bukan Bumiputera.

"Kerajaan memberi jaminan terus berlaku adil dalam soal kecemerlangan pendidikan tanpa mengira kaum, agama atau bahasa. Tiada pelajar akan teraniaya dalam isu pemberian biasiswa tajaan JPA kerana pemilihan tidak dibuat berdasarkan warna kulit," katanya.

Pemilihan dibuat berdasarkan pencapaian 9 1A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk berlaku adil kepada semua pihak kerana ada sekolah mengehadkan pengambilan sembilan mata pelajaran saja.

Katanya, daripada 2,100 pelajar yang ditawarkan biasiswa JPA bagi mengikuti pengajian di luar negara, 20 peratus diperuntukkan kepada pelajar paling cemerlang membabitkan 417 pelajar.

Daripada jumlah itu, 32 peratus atau 135 pelajar adalah pelajar Bumiputera, manakala 68 peratus atau 282 bukan Bumiputera.

Mohamed Nazri berkata, pelajar dihantar mengikuti pengajian dalam bidang kritikal, profesional, strategik dan keutamaan diberikan di beberapa negara seperti United Kingdom, Ireland, Amerika Syarikat, Kanada, Australia, New Zealand, Jepun, Korea Selatan, Russia, Jerman, Perancis, Republik Czech, Poland, Mesir, Jordan, India dan Indonesia.

Beliau berkata, kecemerlangan akademik yang dipertimbangkan JPA adalah berdasarkan kepada maksimum sembilan mata pelajaran utama saja mengikut kesesuaian bidang pengajian yang diminta pelajar.

Katanya, kategori kecemerlangan akademik diambil kira tanpa mengira latar belakang dan sosio ekonomi dan pemilihan berdasarkan kecemerlangan akademik (85 peratus), kokurikulum (10 peratus) dan temu duga (lima peratus).

Beliau juga berkata untuk kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak bilangan tempat sebanyak 10 peratus diberikan berdasarkan agihan masing-masing lima peratus.


Tarikh: 17/06/2009 (Rabu)

Sumber: Berita Harian

Pautan: Klik di Sini

-------------------------

Ini adalah satu langkah yang baik dan patut dihargai oleh rakyat kalau dahulu pelajar bukan bumiputera susah untuk mendapatkan biasiswa. Namun sekarang keadaan sudah berubah, ini menyangkal tuduhan terhadap kerajaan tidak mengambil berat terhadap nasib masyarakat bukan bumiputera di Malaysia. Ini adalah relevan dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak baru - baru ini.

No comments: