Thursday, May 14, 2009

Bijak pilih kawan elak pelajar terjebak jenayah

BARU-BARU ini, masyarakat di seluruh negara didedahkan dengan pelbagai perbuatan jenayah dan salah laku pelajar termasuk mencuri, merosakkan harta benda sekolah, bergaduh, mencederakan murid lain dan memeras ugut untuk mendapatkan wang. 

Masyarakat dulu mungkin tidak pernah terfikir akan wujud generasi pelajar yang bertindak ganas termasuk memeras ugut hingga sanggup mencederakan pelajar lain. 

Ada beberapa faktor menyebabkan gejala itu semakin serius iaitu: 

 
l Kemerosotan moral dan akhlak kesan pembangunan negara dan era ICT; 

l Keruntuhan institusi keluarga yang gagal memainkan peranannya sebagai institusi pembentukan insan yang positif dan produktif; 

l Masalah dan kesan krisis rumah tangga; dan 

l Pengaruh rakan sebaya. 

Sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dipertanggungjawabkan mendidik generasi muda supaya membenci jenayah, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mengambil inisiatif dengan menubuhkan Kelab Pencegahan Jenayah sejak 1999 dengan kerjasama Kementerian Pelajaran yang antara objektifnya ialah:- 

l Memupuk rasa patuh kepada peraturan dan undang-undang negara; 

l Melahirkan kesedaran dan rasa tanggungjawab dalam pencegahan jenayah; 

l Menanam nilai moral yang tinggi di kalangan pelajar mengenai pencegahan adalah lebih baik daripada memerangi jenayah; 

l Melahirkan pelajar yang bertanggungjawab kepada masyarakat; dan 

l Mendidik supaya pelajar tidak terbabit dalam kegiatan jenayah dan cara mengelakkan diri daripada menjadi mangsa. 

Matlamat MCPF ialah membentuk masyarakat remaja supaya mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap pencegahan jenayah agar mereka mempunyai kefahaman mengenai penguatkuasaan undang-undang dalam konteks mewujudkan masyarakat harmoni. 

Sebagai ibu bapa dan anggota masyarakat, kita harus sedar bahawa kehidupan remaja hari ini amat mencabar, sejajar dengan arus pemodenan dan pembangunan. 

Selain rakan sebaya, ibu bapa dan guru serta pengaruh persekitaran seperti budaya Barat dan media massa mempengaruhi pemikiran remaja. 

Kami berharap semua pihak sama ada agensi penguatkuasaan undang-undang atau NGO bersama-sama memikul tanggungjawab menangani masalah itu untuk kebaikan masa depan generasi kita. 

Saya mengingatkan pelajar supaya jangan sekali-kali terbabit dengan apa juga perlakuan jenayah yang akan menjejaskan masa depan mereka. 

Pada usia remaja, mereka lebih rapat dengan rakan sebaya. Sikap pembawaan dan penampilan rakan sebaya banyak mempengaruhi tingkah laku remaja. 

Sering kali remaja terpaksa melakukan perbuatan tidak sihat seperti merokok agar diterima sebagai ahli kumpulan rakan sebayanya itu. 

Pelajar perlu berhati-hati memilih rakan. Jangan tersalah pilih rakan yang kelak boleh menjerumuskan anda kepada jenayah. 

Rakan yang baik akan membantu anda menjadi insan yang baik dan berguna. 

Kepada guru dan pelajar, polis tidak mampu bergerak dan bertindak sendirian bagi membasmi dan mencegah jenayah di kalangan pelajar. 

Polis memerlukan kerjasama dan komitmen daripada pengurusan sekolah dan pelajar. 


TAN SRI LEE 

LAM THYE, 

Naib Pengerusi MCPF.


Tarikh: 14/05/09

Sumber: Berita Harian

Pautan: Klik Di---> SINI

-------------------------

Para pelajar dan remeja sekalian patut sudah cukup dewasa untuk membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Kita seharusnya bijak di dalam memilih kawan kita agar tidak turut terjebak ke kancah jenayah ataupun kerosakkan akhlak yang boleh menjejaskan masa depan anda.

No comments: