Monday, December 7, 2009

Dua pelajar cemerlang UPSR terkejut terima kunjungan YB

MEMBAKUT: Siti Norfarhana Nazihah Hassan, 12, dan Dayang Norfarain Kamis, 12, tidak menyangka kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Membakut, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif ke Sekolah Rendah Ugama (SRU) Membakut, di sini untuk meraikan kejayaan mereka.

Kedua-dua pelajar itu mencapai kejayaan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Rendah Agama tahun ini. Selain dua pelajar itu, seorang lagi pelajar, Siti Norfarah Izyini Hassan, 12, turut cemerlang dalam peperiksaan Sijil Rendah Agama di sekolah terbabit. Siti Norfarahana Nazihah berkata, beliau tidak menyangka Mohd Arifin datang ke sekolah mereka dan memberikan ucapan tahniah.

"Saya tidak sangka kejayaan ini turut diraikan wakil rakyat kami dan ini sudah tentu memberikan semangat kepada saya untuk mencapai kecemerlangan dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.

Dayang Norfarain berkata, Mohd Arifin memberi dorongan kepadanya supaya meneruskan kecemerlangan dalam peperiksaan PMR dan SPM, sekali gus berjaya melanjutkan pengajian ke universiti.

"Saya akan berusaha mencapai kejayaan lebih besar pada masa depan sekali gus merealisasikan cita-cita keluarga untuk melanjutkan pengajian ke menara gading," katanya.

Sementara itu, Mohd Arifin melahirkan rasa bangga dengan kejayaan Siti Norfarhana Nazihah dan Dayang Norfarain dengan menyifatkan kejayaan berkenaan sebagai pendorong bukan saja kepada mereka tetapi juga pelajar lain supaya berusaha lebih gigih mencapai kejayaan.

Katanya, kejayaan itu seharusnya menjadi permulaaan kepada kecemerlangan pada masa depan sekali gus hadiah paling berharga kepada kedua orang tua yang sentiasa mendoakan kejayaan anaknya.

"Saya harap pelajar yang mencapai kecemerlangan hari ini supaya meneruskan usaha untuk mencapai kejayaan berterusan pada masa depan," katanya.

-------------------------------------------------------

Sumber: Berita Harian

Tarikh: 07/12/2009 (Isnin)

Pautan: Klik Di Sini

No comments: