Friday, November 21, 2008

Jadikan Sabah 'Negeri Taman'

KOTA KINABALU, Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut, Datuk Mohd. Ariffin Mohd. Arif mencadangkan supaya kerajaan negeri menjadikan Sabah sebagai sebuah 'Negeri Taman'.

Menurut beliau, usaha itu sejajar dengan kedudukan Sabah yang kaya dengan tumbuhan dan alam semula jadi yang sepatutnya dimanfaatkan sebaik mungkin bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Menurut beliau, Sabah mempunyai lebih 5,000 spesies bunga dan lebih 1,000 daripadanya adalah merupakan bunga orkid liar dan 800 jenis terdapat di Taman Kinabalu.

''Saya mencadangkan semua pihak yang terlibat memainkan peranan menjadikan Sabah sebagai Negeri Taman.

''Di peringkat awal, kita boleh mewujudkan Lintasan Taman Borneo di sepanjang jalan di Kota Kinabalu dan kemudian daripada itu, kawasan Perindustrian Kota Kinabalu sebagai pusat bunga-bungaan," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap membahas usul pembentangan Bajet 2009 pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini kelmarin.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga perlu menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) mengenai bunga dalam usaha memajukan lagi industri tersebut.

Malah, katanya, Universiti Malaysia Sabah boleh memainkan peranan menjalankan R&D dalam mengkomersialkan produk bunga.

Dipetik daripada: Utusan Malaysia

--------------------------------------


1 comment: