Wednesday, March 18, 2009

Daerah Kecil Membakut bakal punyai masjid baru

MEMBAKUT: Daerah ini bakal mempunyai masjid baru yang akan dibina di pekan baru daerah ini, kata Datuk Hj Mohd Arifin Mohd Arif. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Membakut itu berkata, pembinaan masjid baru tersebut akan dilaksanakan kerana masjid yang lama mempunyai ruang solat yang sempit.

Masjid baru tersebut bukan sahaja untuk kemudahan kepada penduduk daerah kecil ini tetapi juga kepada orang ramai yang dalam perjalanan akan turut mendapat kemudahan solat yang selesa,” katanya semasa berucap merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat Daerah Kecil Membakut pagi, kelmarin.

Arifin yang juga pengerusi Sedco memberitahu, terdapat beberapa lagi projek pembangunan akan dilaksanakan di daerah kecil tersebut seperti kemudahan R&R (Rest and Recreation) iaitu kemudahan tempat persinggahan kepada orang ramai dalam perjalanan dan beberapa unit kedai Kampung Saga-saga.

“Kos sebenar keseluruhan projek-projek pembangunan tersebut akan saya maklumkan kemudian,” kata Arifin.

Menyentuh perpaduan umat, Arifin berkata, umat Islam perlu menghayati sejarah kehidupan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang meletakkan kepentingan kesatuan dan perpaduan di kalangan manusia sebagai asas kecemerlangan dan pemangkin umat yang berkualiti dan baik.

“Perpaduan sesama masyarakat Islam akan tercapai melalui prinsip asas seperti tolong menolong dalam menggalakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ia dimantapkan lagi melalui aspek moral yang baik, berakhlak mulia seperti sayang-menyayangi dan bersikap toleransi,” tambahnya.

Cabaran perpaduan ummah memerlukan jihad, ilmu pengetahuan dan toleransi di antara kaum. Ini bagi memastikan keharmonian bagi sesebuah masyarakat di dalam sesebuah negeri dan negara.

Sambutan hari ini bermula dengan perarakan sambil berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w yang terdiri daripada kontinjen jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, sekolah dan penduduk sekitar daerah Membakut.

Anugerah masjid terbaik di peringkat kampung dalam daerah Membakut dimenangi oleh Masjid Nurul Iman Pekan Membakut, tempat kedua Masjid Jamek Kg. Brunei dan ketiga Masjid Al-Huda Rancangan Mawao.

Bagi pertandingan sepanduk, tempat pertama dimenangi oleh Gabungan Persatuan Masyarakat Berunei Sabah, kedua pasukan Kafa Membakut dan ketiga kumpulan Perkakas.

TARIKH: 18/03/2009

SUMBER: NEW SABAH TIMES

PAUTAN: KLIK DI---> SINI

-----------------------------

Alhamdulillah... akhirnya para penduduk beragama Islam di sekitar daerah Membakut bakal menikmati kemudahan untuk beribadah yang lebih selesa. Ini kerana masjid daerah Membakut yang sedia ada sudah tidak dapat menampung jumlah jemaahnya yang semakin bertambah lebih - lebih lagi pada sembahyang Jumaat.Ini adalah tanda keprihatinan kerajaan Barisan Nasional terhadap keperluan semasa penduduk. Diharap perhatian yang diberikan ini dapat dihargai oleh masyarakat setempat.

Friday, March 13, 2009

BN kekal kerusi Parlimen Pensiangan

KOTA KINABALU 13 Mac – Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Pensiangan selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan menerima rayuan Timbalan Menteri Pembangunan Luar bandar dan Wilayah, Tan Sri Joseph Kurup mengenepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya sebelum ini.

Mahkamah Pilihan Raya sebelum ini membatalkan kemenangan Kurup bagi kerusi Parlimen Pensiangan pada pilihan raya umum Mac lalu.

Keputusan dibacakan hakim, Nik Hashim Nik Abd. Rahman. - Utusan


Tarikh: 13/03/2009 (JUMAAT)

Sumber: Utusan Malaysia

Pautan: Klik Di---> SINI

-------------------------

Akhirnya terungkailah sudah persoalan tentang Pilihanraya Kecil Parlimen Pensiangan yang menjadi perhatian akhbar tempat baru - baru ini. Diharap perkara seperti ini dapat dijadikan tauladan kepada pihak yang berkenaan supaya lebih telus di dalam menjalankan tanggungjawab. Ini adalah untuk menggelakkan perkara yang sama berulang.

Wednesday, February 25, 2009

Koperasi Bela Rakyat bakal ditubuh setiap DUN

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Koperasi Bela Rakyat akan ditubuhkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membela nasib orang miskin.

Ia akan memberi peluang kepada golongan itu menyertai bidang ekonomi sebagai usahawan bagi membaiki kehidupan dan masa depan mereka.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata, penubuhannya juga akan mencapai matlamat menjadikan koperasi antara penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu sekurang-kurangnya lima peratus menjelang 2020.

''Pada masa ini, koperasi hanya menyumbang satu peratus terhadap KDNK. Sebab itu kita menggalakkan penubuhan koperasi termasuk Koperasi Bela Rakyat," katanya pada sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd. Yusoff (Pas-Rantau Panjang) yang bertanya mengenai program kerajaan menggalakkan orang ramai menyertai koperasi dan aktiviti perniagaan koperasi.

Dalam pada itu, menjawab soalan asal Mohd. Nor Othman (BN-Hulu Terengganu), Noh berkata, skim pinjaman mudah koperasi kredit berjaya mengurangkan tekanan hidup golongan pekerja yang sukar mendapat pinjaman bank.

Katanya, koperasi tani pula mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk luar bandar dan mengeluarkan mereka daripada kelompok miskin tegar seperti dibuktikan projek tanaman buah pitaya oleh Koperasi Tani Lembah Bidong yang disertai 75 penduduk miskin.

''Koperasi pengguna pula meringankan tekanan inflasi dengan penetapan harga barangan pengguna yang tidak membebankan anggota selain memberi rebat kepada mereka berasaskan langganan dengan koperasi.

''Bagi koperasi perumahan, anggotanya menikmati harga rendah bagi rumah yang dijual oleh koperasi kerana kos pembinaan dapat dikurangkan melalui insentif pembiayaan kerajaan pada kadar perkhidmatan tidak lebih enam peratus," katanya.

Tarikh: 25/02/2009 (Rabu)

Sumber: Utusan Malaysia

Pautan: Klik Di --->Sini

------------------------

Tuesday, February 24, 2009

Fenomena air merah merebak

Oleh sitti nor azizah talata
utusansabah@utusan.com.my


KOTA KINABALU 23 Feb. - Jabatan Perikanan Sabah (JPS) mengesahkan fenomena kejadian air merah (Red Tide) yang dikesan di perairan Kota Kinabalu dan Tuaran, dua minggu lalu sudah merebak ke perairan Papar dan Kuala Penyu.

Pegawai Perikanan JPS, Boniface Jintony berkata, tanda-tanda kejadian air merah di kedua-dua kawasan itu telah dikesan minggu lalu.

Sehubungan itu, katanya, notis larangan memakan kerang dan siput yang telah dikeluarkan sejak awal bulan ini, masih dikuatkuasakan.

''Kita juga menasihati orang ramai agar tidak memakan bubuk (udang kecil yang dibuat belacan) kerana dikhuatiri tercemar air merah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Boniface menegaskan, tindakan tegas akan diambil kepada para peniaga di pasar jika didapati menjual kerang, siput dan bubuk kepada orang ramai di kawasan-kawasan yang serius tercemar Air Merah.

Katanya, walaupun kawasan lain di negeri ini belum dikesan kejadian air merah, namun pihaknya menasihati orang ramai supaya tidak memakan kerang, siput dan bubuk kerana dikhuatiri mengandungi toksin.

Tarikh: 24/02/2009 (Selasa)

Sumber: Utusan Malaysia

Pautan: Klik Di---> Sini

------------------------

Wednesday, February 18, 2009

sungai Kampung Kuala Binsulok, Membakut, Sabah



Sungai Kampung Kuala Binsulok dicirikan dengan hutan paya bakau yang sesuai untuk aktiviti memancing.

Photos were taken near Pusat Latihan Binsulok. you may enjoy beautiful beach resort and natural mangrove forest here in Kuala Binsulok. if you are lucky, firefly may fly right in front your nose.

Accommodation service is available at reasonable price. please contact admin for more detail.

Friday, February 13, 2009

Valentine's Day hari rai kejayaan pahlawan kafir kalahkan Islam

ESOK adalah Hari Valentine iaitu hari yang dinantikan golongan muda bagi memperingati kekasih. 

Pada hari berkenaan, pasangan kekasih meraikannya dengan menghadiri makan malam dan membelikan bunga untuk pasangan masing-masing. 

Ia ternyata budaya yang dibawa masyarakat Barat. Jika hanya setakat itu saja tidak salah. Namun, ada juga yang menyambutnya secara berlebihan. Kenapa jadi begitu? 

 

Jawapannya amat mudah kerana ramai yang tidak mengetahui asal usul kewujudan hari berkenaan. Oleh itu, saban tahun semakin ramai generasi baru 'pak turut' turut sama membuta tuli meraikannya. 

Apa yang terlintas di benak mereka hanyalah keseronokan dan kegembiraan. Maklum sajalah, hari memperingati kekasih. 

Walaupun menjadi naluri semula jadi manusia untuk dikasihi dan mengasihi, persoalannya, kenapa cuma pada hari itu perlakuan kita agak terlebih. 
 

Inilah yang menjadi kebimbangan kita semua. Pertama, lantaran tidak tahu asal usulnya, maka hari itu disambut dengan penuh kesyahduan dan kegembiraan. 

Untuk muda-mudi Islam, jauhilah daripada turut menyertai meraikan hari berkenaan. 

Hari itu sebenarnya adalah hari mengenang kejayaan besar seorang pahlawan kafir yang berjaya menundukkan kerajaan Islam di Sepanyol. Nama perayaan itu mengambil sempena nama sebenar pahlawan berkenaan. 

Tahun demi tahun, dibantu dengan tidak peka masyarakat Islam itu sendiri, maka mereka berjaya menerobosi minda anak muda Islam di serata dunia untuk turut sama dengan bangganya meraikan hari kejayaan besar itu dengan menjelmakan imej kasih sayang bersamanya. 

Kasih sayang berkenaan sebenarnya lambang kasih sayang mereka terhadap pahlawan berkenaan yang berjaya menumbangkan sebuah empayar Islam yang pernah berkuasa selama beratus-ratus tahun di bumi Andalusia itu. 

Itulah hakikat yang sebenarnya. Namun, ia berjaya dipakaikan topeng kasih sayang uda dan dara untuk mengabui mata dan minda serta berupaya menarik minat muda mudi Islam untuk turut sama bergembira dan merayakan kejayaan besar mereka dalam menghancurkan kuasa kerajaan Islam. 

Jauhilah perayaan itu sama sekali. Jika anda masih turut merayakannya, ia seolah-olah menunjukkan anda bergembira menyokong kejayaan orang lain menghancurkan dunia Islam keseluruhannya. 

SYED MAZLAN SYED MAT DOM, 

UiTM Kampus, Skudai.

Tarikh: 13/02/2009 (JUMAAT)

Sumber: Berita Harian

Pautan: Klik di---> SINI

------------------------

Penulis ini berkongsi dgn para pembaca sekalian. Ramai di antara umat Islam yang begitu ghairah di dalam menyambut Hari Kekasih ataupun Valentine's Day. Jgnlah kita mengikut secara membuta tuli tanpa usul periksa akan rasionalnya sesuatu budaya. Oleh itu, marilah kita sama - sama saling ingat memperingati... sekian.

Thursday, February 12, 2009

2,000 Pemuda, Wanita, Puteri UMNO berarak

SHAH ALAM 11 Feb. - Hampir 2,000 ahli Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Selangor hari ini berarak secara aman bagi mengutuk tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mencabar kedaulatan raja Melayu. 

Perarakan yang diketuai Ketua Pemuda, Abdul Shukor Idrus pada pukul 4 petang itu adalah sebahagian daripada siri penentangan orang Melayu di seluruh negara terhadap sikap biadap dan kurang ajar Karpal. 

Perarakan bermula dari Bangunan UMNO Selangor sejauh 1.5 kilometer dan berakhir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Selepas itu, Abdul Shukor membuat laporan polis terhadap tindakan Karpal itu.

Beliau yang ditemui pemberita selepas itu menegaskan, tindakan Karpal adalah tidak wajar dan tidak boleh dimaafkan kerana mengguris, menghina dan membangkitkan rasa marah orang Melayu. 

"Hasrat Karpal untuk menyaman Sultan Perak, Sultan Azlan Shah merupakan satu bentuk penyalahgunaan proses mahkamah selain berniat jahat untuk mengheret institusi raja ke kancah skandal umum.

"Selain itu, Karpal juga melanggar prinsip Perlembagaan dan Rukun Negara berhubung kesetiaan kepada raja dan negara yang harus dipatuhi oleh warganegara tidak mengira kaum," jelasnya. 

Turut menyertai perarakan tersebut Ketua Wanita UMNO Selangor, Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin serta beberapa pemimpin UMNO negeri. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Nor Azam Jamaluddin ketika ditemui mengesahkan pihaknya menerima laporan yang dibuat terhadap Karpal.


Tarikh:12/02/2009

sumber: Utusan Malaysia

Pautan: Klik di---> Sini

-----------------------

Wednesday, February 4, 2009

Anifah beri jaminan kemuka masalah jalan raya Kg Sumbiling kepada menteri

BONGAWAN: Ahli Parlimen Kimanis Datuk Anifah Hj Aman memberikan jaminan kepada penduduk di sepanjang Kampung Sum-biling di Bongawan akan mengemukakan ke-pada menteri yang dipertanggungjawabkan berhubung permintaan dan desakan penduduk supaya jalan raya itu di diperbaiki dan di naiktaraf.

“Saya akan menghubungi atau berjumpa dengan menteri di Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah untuk berbincang supaya mengambil tindakan segera untuk menangani masalah jalan raya Kampung Sumbiling ini,” katanya.

“Kita berharap berdasarkan desakan penduduk, kementerian terbabit akan dapat mengemukakan perkara ini kepada Kerajaan Pusat untuk mendapatkan peruntukan khas bagi kerja-kerja menaiktaraf jalan tersebut,” kata Anifah semasa meninjau tindakan lebih 100 penduduk menutup jalan tersebut di Kg Sumbiling kelmarin.

Ratusan penduduk telah keluar beramai-ra-mai dan menunjuk perasaan, membuat papan tanda menyatakan kemarahan mereka sehingga bertindak menutup jalan dengan palang kerana tidak berpuas hati berhubung keadaan jalan raya yang menghubungkan tujuh kampung itu se-makin rosak dan becak.

“Saya mendapati jalan raya sepanjang sepanjang 26 km dari Pekan Bongawan itu memang rosak teruk dan dengan keadaan jalan yang ber-lubang-lubang di sana sini serta becak menimbulkan pelbagai masalah dan kesukaran kepada penduduk terutama ketika penduduk hendak membawa keluar hasil pertanian dari kampung,” katanya.

Beliau berkata para pelajar sekolah juga berdepan dengan kesukaran untuk pergi ke sekolah kerana mereka yang berjalan kaki terpaksa membuka kasut dan pakaian yang mereka pakai kena percikan lumpur dan menjadi kotor sehingga menyebabkan tiada keselesaan bagi anak-anak ini ketika belajar.

Kehadiran Anifah di Kampung Sumbiling berhubung tindakan penduduk menutup jalan itu turut dihadiri bersama Jurutera JKR Daerah Papar Lee Shu Ken dan Penolong Pegawai Dae-rah Papar Ag Tajuddin Bahar.

Pada perjumpaan itu Anifah diberikan taklimat oleh jurutera berkenaan dan memaklumkan kepada Anifah bahawa sebagai langkah sementara JKR akan mengatasi jalan yang berlubang-lubang, rosak ini dan becak ini.

Menurut taklimat JKR, jalan raya itu terlalu rendah dan mudah dinaiki air dan apabila selepas berlaku banjir tanah di jalan raya akan terhakis dan menjadi becak manakala batu-batu yang sudah dibubuh juga dihanyutkan arus.

Menurut Ketua Kampung Talantang, Paulinus Sindih dan Pengerusi JKKK Jikalis Majinol terdapat empat ribu jumlah penduduk yang tinggal di tujuh kampung di sepanjang jalan 26 km ini.

“Kami berterima kasih kepada Anifah yang telah datang bersama Jurutera JKR danb ADO untuk mendengar masalah penduduk di sini dan berharap kerajaan dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera,” kata Paulinus sambil menambah dengan adanya infrastruktur yang lebih baik akan mempercepat proses pembangunan ekonomi penduduk di tujuh kampung terlibat.

Selepas perbincangan dengan Anifah itu, penduduk bersetuju membuka semula jalan berkenaan untuk laluan kepada semua kenderaan yang mana sebelum itu berpuluh kenderaan tersekat.


Tarikh: 03 Feb 2009 (Rabu)

Sumber: New Sabah Times

Pautan: Klik di---> Sini

------------------------

Tuesday, February 3, 2009

Serapkan 50,000 kakitangan kontrak

BUTTERWORTH 2 Feb. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendesak kerajaan menyerap 50,000 kakitangan kontraknya ke jawatan tetap.

Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, mereka tidak sepatutnya ditamatkan kontrak lebih-lebih lagi ketika negara menghadapi kemelesetan ekoran krisis ekonomi global.

''Apatah lagi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga telah meluluskan sebanyak 66 jawatan tambahan bertaraf kakitangan tetap di pelbagai agensi dan jabatan,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, pengisian jawatan tersebut sepatutnya dilakukan dengan menyerap pekerja kontrak berkenaan dan bukannya memberhentikan mereka atas alasan prestasi kerja tidak memuaskan.

"Saya menerima aduan dan makluman pekerja kontrak diberhentikan secara drastik oleh ketua-ketua jabatan dan itu adalah tindakan yang tidak wajar serta tidak berperikemanusiaan.

"Seharusnya pihak Sumber Manusia prihatin dengan nasib pekerja-pekerja kontrak yang mempunyai keluarga dan tanggungan," katanya.

Omar berkata, CUEPACS mahu supaya status kakitangan atau pekerja kontrak di semua agensi dan jabatan kerajaan di seluruh negara dihapuskan menjelang tahun 2010.

"Ini bukan cakap sahaja. Memberhentikan pekerja kontrak adalah satu penganiayaan. Jadi, Jabatan Sumber Manusia perlu lebih prihatin terhadap nasib pekerja," katanya.

Tarikh: 03 Feb 2009 (Selasa)

Sumber: Utusan Malaysia

Pautan: Klik di---> Sini

----------------------

Monday, February 2, 2009

Ahli Parlimen Kimanis turun padang selasai masalah penduduk

Sepanduk Protes!!!

Bongawan 02 Feb, 2009: Satu demonstrasi bantahan telah di lakukan oleh kira - kira 50 orang penduduk yang berasal daripada kampung berdekatan Daerah mengundi Kuala Pus. Demonstrasi ini dilakukan dengan aman bertujuan untuk memprotes sikap pihak berwajib di dalam menangani masalah yang menimpa mereka.  

Penduduk yang hadir...

Isu jalanraya bukanlah sebuah isu yang asing bagi penduduk di kawasan Daerah Mengundi Kuala Pus iaitu yang terdiri daripada beberapa buah kampung seperti  Kg. Talantang, Kg. Ambituan, Kg. Viging, Kg. Ulu Lumagar dan beberapa buah lagi. Jalanraya ini berada di dalam keadaan yang daif dan pembaikan adalah sangat mendesak. Menurut seorang penduduk yang ditemui oleh penulis, jalanraya ini sepatutnya sudahpun  dinaik taraf seperti yang diumumkan oleh Menteri Kerja Raya pada musim pilihanraya yang lalu.

Menanti Jawapan...

Berikutan dengan itu, Y.B Datuk Anifah Hj. Aman selaku Ahli Parlimen P. 176 Kimanis telah turun padang menemui penduduk - penduduk kampung yang berdemonstrasi. Beliau yang pada hari sebelumnya sudah pun turun padang memasukki kampung di sekitar Ulu Bongawan mengakui bahawa jalanraya di kawasan ini sememangnya perlu dinaik tarafkan memandangkan lebih 4000 orang penduduk kampung yang tinggal disekitarannya. Beliau telahpun menghubungi dan membawa wakil daripada Jabatan kerja Raya untuk memberi penjelasan kepada penduduk kampung mengenai situasi sebenar agar perkara ini dapat diselasaikan dengan kadar segera.

Y.B Datuk Anifah Hj. Aman sedang mendengar penjelasan daripada En. Paulinus sebagai wakil penduduk setempat

Y.B Datuk Anifah Hj. Aman yang sebelum ini menolak jawatan Timbalan Menteri atas sebab ingin memperjuangkan nasib para penduduk di kawasan Parlimen Kimanis. Sebagai seorang wakil rakyat biasa beliau berpendapat bahawa beliau dapat menyuarakan kehendak rakyat kepada pemimpin peringkat atasan. Beliau juga menegaskan bahawa perkara ini perlu diselasaikan dengan segera berikutan perkara ini sudahpun disuarakan di dewan parlimen suatu masa dulu.

Mendengar rintihan daripada penduduk kampung

Demonstrasi tersebut mencapai kata sepakat dengan sesi dialog ringkas di antara penduduk kampung dan juga pihak berkuasa seperti pihak Jabatan kerja raya dan badan yang berkaitan. Y.B Datuk Anifah Hj. Aman juga sempat menyuarakan beberapa pendapat bagi merungkai segalan pertikaian yang berlaku diantaranya perancangan beliau untuk membawa Menteri Kerja Raya Negeri Sabah melawat ke kawasan Daerah Mengundi Kuala Pus ini bagi menyaksikan sendiri akan penderitaan penduduknya. Dengan itu, Beliau juga berharap dengan lawatan itu, pihak Menteri Kerajaan Negeri dapat berhubung dengan Menteri kerja raya peringkat persekutuan bagi menyelasaikan perkara ini.

Wakil daripada Jabatan Kerja Raya menerangkan punca masalah kepada Y.B Datuk Anifah

Ketua Kampung Talantang En. Paulinus yang juga sebagai wakil penduduk menyatakan rasa puas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Ahli Parlimen Kimanis Y.B Datuk Anifah Hj. Aman dan juga wakil daripada Jabatan Kerja Raya di dalam menyelasaikan perkara yang berlaku ini. En. Paulinus juga memohon para penduduk kampung supaya bersabar dan memberi tempoh masa bagi menyelasaikan perkara ini secepat yang mungkin.

Y.B Datuk Anifah Hj. Aman menerangkan kepada penduduk kampung yang hadir akan penjelasan wakil daripada Jabatan kerja raya dan mencadangkan beberapa jalan penyelasaian.