Monday, November 14, 2011

Masyarakat Cina Membakut mahu dua kapitan digantikan

MEMBAKUT: Majoriti masyarakat Cina di Daerah Kecil ini meminta pihak berkuasa terutama Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, untuk menggantikan dua kapitan Cina di sini memandangkan kedua-duanya gagal menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

Beberapa orang masyarakat Cina berkata, kedua-dua kapitan yang sudah lama berkhidmat di daerah kecil ini bukan saja gagal memberikan perkhidmatan kepada masyarakat Cina di sini malah tidak pernah berhubung dengan masyarakat akar umbi dan ini sudah tentu memberikan kerugian kepada mereka.

Kita mempunyai dua orang kapitan di pekan kecil ini tetapi mereka tidak pernah memberikan bantuan dari segi penyaluran maklumat atau apa-apa juga perkhidmatan kepada masyarakat cina di pekan ini dan ini sudah tentu merugikan kami, kata seorang penduduk Cina di sini.
Beliau berkata, kerajaan sememangnya menyediakan pelbagai kemudahan kepada masyarakat di Membakut seperti bantuan kebajikan, e-kasih, bantuan Perumahan Rakyat Termiskin dan sebagainya tetapi mereka tidak pernah memaklumkan kepada masyarakat Cina yang kurang berkemampuan dan yang wajar mendapat bantuan seumpama ini.
Kami benar-benar kecewa dengan kedua-dua kapitan ini dan adalah wajar ianya digantikan dengan para pemimpin muda dan mampu berhubung rapat dengan rakyat akar umbi, katanya.

Beliau berkata, banyak pembangunan dan bantuan yang disediakan oleh kedua-dua pemimpin di kawasan Membakut ini terutama sekali Ahli Parlimen, Datuk Seri Anifah Haji Aman dan juga Wakil Rakyat Membakut, Haji Mohd Arifin Arif namun masyarakat Cina masih ketinggalan untuk menikmatinya kerana kedua-dua kapitan Cina Membakut yang ada sekarang tidak pernah memberikan bantuan kepada mereka.

Kami mendengar banyak bantuan yang disalurkan oleh kedua-dua pemimpin ini kepada masyarakat tetapi ramai masyarakat Cina tidak pernah dimaklumkan apa lagi dibantu oleh mereka untuk mendapatkan bantuan ini katanya lagi.

Beliau berkata tidak semua masyarakat Cina di daerah kecil ini yang berada seperti kedua-dua kapitan ini sebaliknya masih ramai yang masih susah dan memerlukan bantuan.
Kegagalan mereka untuk turun ke akar umbi membuatkan kami sudah bosan dengan kepimpinan mereka dan satu perubahan perlu dilakukan, tegasnya.

Dalam hubungan majoriti masyarakat Cina juga meminta Ahli Parlimen dan Wakil Rakyat mengambil perhatian dalam perkara ini memandangkan memorandum agar kedua-dua kapitan ini agar ditukarkan sudah pernah dihantar kepada Menteri di Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Beliau berkata adalah tidak relevan juga mempunyai dua kapitan di daerah kecil ini memandangkan penduduk masyarakat Cina tidaklah begitu ramai.
Kita juga minta agar kerajaan hanya melantik seorang saja kapitan di Daerah Kecil Membakut ini dan bukan dua seperti sekarang yang hanya akan membazirkan wang kerajaan untuk membayar elaun, katanya.

Beliau mendakwa salah seorang kapitan di daerah kecil ini tidak menetap di Membakut sebaliknya lebih banyak masanya dihabiskan di Kota Kinabalu untuk menjaga isterinya yang sakit manakala seorang lagi kapitan hanya menjalankan perniagaannya tanpa mengambil berat atau perhatian tentang nasib masyarakat Cina di Daerah Kecil Membakut ini.

Dalam hubungan ini katanya masyarakat Cina Membakut merayu kepada kedua-dua pemimpin terutama Ahli Parlimen dan Adun Membakut meneliti semula pelantikan kedua-dua kapitan ini.
Beliau berkata masyarakat Cina juga sudah menolak kapitan ini melalui pemilihan Lembaga Pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pei Yin baru-baru ini apabila kapitan ini tewas teruk oleh seorang pemimpin muda di pekan ini.

Masyarakat Cina mahukan perubahan dari itulah mereka sudah menterjemahkan perubahan itu melalui undi dalam pemilihan itu dan kita berharap tindakan drastik perlu diambil untuk membolehkan kapitan khidmat kapitan ini dihentikan dan memberi peluang kepada pemimpin muda yang benar-benar bertanggungjawab dan boleh membela nasib masyarakat Cina Membakut, tegasnya.
 
By :
 Sumber: New Sabah Times